5282

Selangor meneruskan rentak kemenangan dalam siri pra-musim di Melbourne, Australia apabila menewaskan South Melbourne 3-0 di Stadium Lakeside petang tadi.

Ini merupakan perlawanan kedua dan terakhir Selangor di benua Australia selepas menumbangkan lawan yang sama 4-0, Rabu lepas.

Gol-gol Selangor dijaringkan oleh Mohd Fitri Shazwan Raduwan, S Veenod dan Muhammad Afiq Azmi.

Jurulatih, Mehmet Durakovic membuat tiga pertukaran kepada kesebelasan utamanya yang beraksi pada perlawanan pertama dengan P Rajesh, Mohd Rizal Fahmi Abd Rosid dan Afiq masing-masing mengambil tempat Mohd Azmi Muslim, Muhammad Shahrom Abdul Kalam dan Abdul Shukur Jusoh.

Berbanding dengan perlawanan pertama, tuan rumah kali ini menampilkan barisan yang lebih stabil dan berpengalaman untuk mengekang pergerakan pemain-pemain Selangor.

Berhadapan lawan yang mempunyai kelebihan fizikal, corak permainan 'pass & move' yang ditekankan Durakovic memberi kelebihan bagi Merah Kuning untuk lebih mengancam kubu South Melbourne.

Biarpun diletakkan sebagai gandingan menyerang dengan Afiq, Abdul Hadi Yahya kerap bergerak ke bawah untuk menerima bola sambil mengelirukan pertahanan lawan yang mengekori beliau. Salah satu hasil gerakan sebegini menghasilkan gol pembukaan Selangor.

Hadi yang menerima bola di bahagian tengah bijak melorongkan bola buat S Kunanlan yang mempunyai ruang di bahagian sayap kanan. Kunanlan bijak melarikan bola dengan pantas sebelum melorongkan bola buat Fitri menjolok masuk gol pada minit ke-25 perlawanan.

Lima minit kemudian, pertahanan import Selangor, Steve Pantelidis hampir menggandakan jaringan apabila sepakan derasnya dari luar kotak penalti sekadar singgah di palang gol Melbourne.

Penjaga gol, Mohd Farizal Marlias kemudiannya membantu Selangor mengukuhkan kedudukan. Sebaik sahaja beliau menggagalkan sepakan penyerang lawan pada minit ke-40, Farizal pantas menyepak bola terus menuju ke arah Veenod yang tidak dikawal di dalam kawasan tuan rumah.

Larian deras Veenod berjaya mengatasi pertahanan terakhir yang mengawalnya sebelum menjaringkan gol kedua menewaskan penjaga gol Melbourne untuk kedudukan 2-0 ketika aksi babak pertama tamat.

Untuk aksi separuh masa kedua, Mohd Hamsani Ahmad, Azmi dan Shahrom dimasukkan bagi menggantikan Farizal, Bunyamin dan Pantelidis.

Selangor beberapa kali mengancam kubu lawan terutama hasil dari gerakan di kedua-dua belah sayap di mana Kunanlan dan Fitri saling bertukar posisi namun tidak berhasil.

Pemain muda, K Satish dimasukkan bagi menambah sengat bagi menggantikan Fitri pada minit ke 63.

Akhirnya Selangor mendapat gol tambahan yang dicari pada minit ke-75, sekali lagi bermula dari gerakan Hadi di bahagian tengah. Sebaik menerima bola, Hadi bertindak pantas menolak bola ke hadapan di antara pertahanan terakhir dan penjaga gol lawan. Afiq yang terlebih dahulu sampai kepada bola lantas melambungkan bola menerjah jaring ketika penjaga gol lawan tidak mampu berbuat apa-apa.

Ini adalah merupakan gol ketiga Afiq di Australia selepas beliau menjaringkan dua gol menentang South Melbourne sebelum ini.

Dengan kemenangan berada di dalam genggaman, jurulatih Mehmet Durakovic turut memberi peluang kepada penjaga gol Muhammad Syamim Othman dan Mohd Raimi Md Nor yang baru pulih sepenuhnya dari kecederaan peha untuk turut beraksi.

SELANGOR: Mohd Farizal Marlias (Mohd Hamsani Ahmad) (Muhammad Syamim Othman), P Rajesh, Steve Pantelidis (Muhammad Shahrom Abdul Kalam), Mohd Rizal Fahmi Rosid, Mohd Bunyamin Umar (Mohd Azmi Muslim), S Kunanlan (Mohd Raimi Md Nor), S Veenod, K Gurusamy, Mohd Fitri Shazwan Raduwan (K Satish), Abdul Hadi Yahya, Muhammad Afiq Azmi